sumber: Darul Numan
Sudah merupakan kebiasaan Nabi, bilamana baginda menaklukkan suatu wilayah, secara peribadi baginda mempelajari keadaan politik dan agama penduduknya selama baginda tinggal di situ. Sebelum meninggalkan tempat itu, baginda melantik orang-orang yang sesuai untuk berbagai jawatan. Alasannya ialah bahawa orang-orang di wilayah itu, yang mengenali sistem lama yang batil, tidak mengenali sistem Islam yang menggantikannya. Islam adalah suatu sistem sosial, moral, politik, dan agama, yang hukum-hukumnya berasal dari wahyu.
Untuk mengenalkan hukum-hukum ini kepada manusia serta penerapannya dalam praktik diperlukan orang yang cekap, cerdas dan berpengetahuan. Ia harus mampu mengajarkan kepada mereka prinsip-prinsip Islam yang benar secara bijak, dan harus pula menerapkan sistem Islam di tengah-tengah mereka
Ketika Nabi memutuskan hendak berangkat dari Makkah menuju wilayah suku Hawazin dan Tsaqif, baginda melantik Mu’az bin Jabal sebagai guru dan mengajari umat, dan mengamanatkan pemerintahan kota itu dan imam masjid kepada ‘Atab bin Usaid yang cekap. Setelah tinggal di Makkah selama lima belas hari, Nabi berangkat menuju daerah suku Hawazin.
Tentera yang Tiada Tandingan
Pada saat itu ada 12,000 tentera di bawah panji Nabi. Dari jumlah itu, 10,000 orang menyertainya dari Madinah dalam pembebasan Makkah, sedang yang 2,000 berasal dari kaum Quraisy Makkah yang baru masuk Islam, dengan Abu Sufyan sebagai pemimpinnya.
Di masa itu, tentera sebesar itu hampir tak pernah ada di Tanah Arab. Namun, justeru kekuatan jumlah mereka inilah yang menjadi penyebab kekalahan awal mereka. Sebabnya, berlainan dengan di masa lalu, sekarang mereka membanggakan diri kerana jumlahnya yang besar. Akibatnya, mereka mengabaikan taktik dan prinsip-prinsip perang.
Ketika para sahabat melihat jumlah tentera yang besar itu ada di antara mereka yang berkata, “Sama sekali kita tak akan kalah, kerana jumlah tentera kita jauh lebih besar daripada musuh.” Namun, ia tidak menyedari bahawa keunggulan jumlah bukanlah satu-satunya faktor penentu kemenangan, dan sesungguhnya faktor itu malah kurang penting.
Al-Quran sendiri menyebutkan hal ini yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai para mukmin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu di waktu kamu menjadi bongkak kerana banyaknya jumlahmu, maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikitpun, dan bumi yang luas ini telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai.”
(Al Qasas : 85)
Mencari Maklumat
Setelah pembebasan Makkah, api perlawanan menyala di daerah-daerah kediaman suku Hawazin dan Tsaqif. Mereka menjalin hubungan khusus di antara mereka. Mata rantai penghubung di antara mereka ialah seorang lelaki gemar berperang yang bernama Malik bin ‘Aufan Nasri. Hasil dari persekutuan mereka, sebelum tentera Islam sempat memberi perhatian kepada mereka, mereka sendiri telah datang menghadapi tentera Islam. Akibatnya, sebelum kaum Muslimin bergerak, mereka menyerang dengan keras melalui suatu taktik tentera. Mereka juga telah memilih seorang lelaki gagah berani berusia tiga puluh tahun untuk bertindak sebagai komando perang.
Selain dari kedua-dua suku di atas, suku Bani Hilal, Nasar, dan Jasyam juga ikut serta dalam pertempuran ini, dan semuanya menjelma sebagai pasukan pemukul yang padu.
Sesuai perintah panglima tertingginya, semua yang ikut dalam pertempuran itu menempatkan kaum wanita, anak-anak, dan hartanya dibelakang tentera. Ketika ditanya tentang alasan keputusannya itu, Malik, sang panglima mengatakan, “Kaum lelaki ini akan tetap teguh dalam pertempuran untuk melindungi keluarga dan hartanya dan sama sekali tak akan berfikir untuk melarikan diri atau mundur.”
Ketika Duraid bin Sammah, pejuang tua yang berpengalaman, mendengar ratapan kaum wanita dan anak-anak, ia mengecam Malik. Ia memandang tindakan Malik itu salah dari sisi prinsip perang, ia berkata kepada Malik, ”Dengan tindakan ini, apabila nanti kamu dikalahkan maka kamu akan menyerahkan semua wanita dan harta kamu kepada tentera Islam secara borong.”
Malik tidak mempedulikan kata-kata tentera berpengalaman itu. Ia mengatakan, “Kamu telah menjadi tua dan telah kehilangan kebijaksanaan dan pengetahuan tentang taktik berperang.” Peristiwa kemudian membuktikan bahawa orang tua itu benar. Kehadiran wanita dan anak-anak di medan perang, di mana orang harus menyerang dan lari, ternyata tak berguna, bahkan hanya mempersulit dan menghalangi gerak tentera.
Nabi mengutus Abdullah al-Aslami secara rahsia untuk menghimpun maklumat tentang peralatan, niat, dan rancangan gerakan musuh. Ia berkeliling di seluruh tentera musuh itu sambil mengumpulkan maklumat yang diperlukan, untuk kemudian menyampaikannya kepada Nabi. Sebaliknya, Malik juga mengirim tiga orang perisik kepada kaum Muslimin secara khusus untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan. Namun, mereka malah kembali kepada Malik dengan hati penuh takjub dan takut.
Panglima pasukan musuh itu memutuskan untuk menambah bilangan tentera dan berusaha mengatasi kelemahan moral tenteranya dengan tipu daya yang licik, yakni dengan melakukan serangan mengejut dan menimbulkan kekacauan di kalangan tentera Islam, agar tentera Islam porak-peranda.Untuk mencapai tujuan itu, Malik berkhemah di hujung lembah yang mengarah ke wilayah Hunain.
Kemudian ia memerintahkan semua tenteranya bersembunyi di sebalik batu-batu dan celah-celah bukit tinggi di sekitar lembah itu. Begitu tentera Islam tiba di lembah yang dalam dan panjang itu, mereka semua harus keluar dari tempat persembunyiannya lalu menyerang kesatuan-kesatuan tentera Islam dengan panah dan batu. Setelah itu, suatu kelompok khusus harus turun dari perbukitan secara teratur dan menyerang kaum Muslimin dengan pedang di bawah perlindungan pasukan pemanah.
Serangan Mengejut
Nabi menyedari kekuatan dan strategi musuh. Oleh itu, sebelum meninggalkan Makkah, baginda memanggil Shafwan bin Umayyah, lalu meminjam seratus baju perang sambil menjamin pengembaliannya. Baginda sendiri memakai dua baju perang dan pelindung kepala. Sambil menunggang keldai putih yang telah dihadiahkan kepadanya, baginda bergerak maju bersama tentera Islam.
Tentera Islam beristirehat malam hari dimulut lembah tadi. Sebelum fajar sepenuhnya muncul, pasukan Muslim dari suku Bani Salim tiba di jalur Lembah Hunain di bawah komando Khalid bin Walid. Ketika sebahagian besar tentera Islam masih di dalam lembah itu, tiba-tiba terdengar bunyi riuh desiran panah dan teriakan ramai pasukan musuh yang sebelumnya telah duduk menghadang di sebalik batu-batu. Ini menciptakan kegemparan luar biasa di kalangan kaum Muslimin.
Panah menghujani mereka, dan sekelompok musuh menyerang di bawah lindungan para pemanahnya. Serangan mengejut ini menyebabkan kaum Muslimin bertempiaran dan mereka segera mencari perlindungan. Kekacauan dan perpecahan pun timbul. Perkembangan ini sangat menggembirakan kaum munafik yang ada di antara tentera Islam. Sebahagian berkata, “Kaum Muslimin akan melarikan diri hingga ke pesisir laut.” Seorang munafik lain mengatakan, “Sihir telah terlawan.” Yang lain bertekad untuk menghabisi Islam dalam keadaan kacau itu dengan membunuh Nabi untuk menghancurkan keimanan kepada Allah Yang Maha Esa dan kenabian Islam sekaligus.
Ketabahan Nabi dan Sahabat
Nabi sangat terganggu oleh larinya para tentera yang merupakan penyebab utama segala kegemparan dan kekacauan itu. Baginda merasa bahawa apabila keadaan itu dibiarkan, walaupun hanya sebentar, jalannya sejarah mungkin menjadi lain; pasukan syirik akan menghancurkan tentera tauhid.
Oleh itu, sambil menunggang keldainya, baginda berseru dengan suara nyaring, “Hai pembela Allah dan Nabi-Nya! Aku hamba Allah dan Nabi-Nya.” Baginda mengucapkan kalimat ini lalu memalingkan keldainya ke medan pertempuran yang telah diduduki tentera Malik. Sekelompok orang siap berkorban, seperti Ali, Abbas, Fadhal bin Abbas, Usamah, dan Abu Sufyan bin Harits, yang tak sudi membiarkan Nabi sendirian tanpa perlindungan, juga maju bersama Nabi.
Nabi meminta Abbas, bapa saudaranya, yang suaranya amat keras, untuk memanggil kembali kaum Muslimin yang bertempiaran, “Hai Ansar yang menolong Nabi-Nya! Hai kaum yang membai’at Nabi di bawah pohon syurga! Kemana kamu akan pergi? Nabi berada di sini!” Kata-kata Abbas sampai ke telinga kaum Muslimin dan merangsang semangat dan ghairah keagamaan mereka. Mereka semua segera menyambut dengan mengatakan, “Labbaik! Labbaik!” Lalu kembali dengan gagah berani bersama-sama Nabi.
Seruan Abbas yang berulang-ulang, yang memberi khabar gembira tentang keselamatan Nabi, membuat orang-orang yang bertempiaran itu kembali kepada Nabi dengan rasa penyesalan dan mengatur lagi barisannya. Sesuai dengan perintah Nabi, dan untuk menghapus noda malu kerana melarikan diri itu, kaum Muslimin melakukan suatu serangan umum. Dan dalam waktu sangat singkat, mereka berhasil memukul musuh mundur atau melarikan diri. Untuk memberi semangat kepada kaum Muslimin, Nabi mengatakan, “Saya Nabi Allah dan tak pernah berdusta, dan Allah telah menjanjikan kemenangan kepada saya.”
Taktik perang ini berhasil membuat para pejuang Hawazin dan Tsaqif melarikan diri ke wilayah Autas dan Nakhlah dan ke benteng Tha’if, dengan meninggalkan kaum wanita dan harta mereka serta tenteranya yang mati di medan pertempuran.
Book Review.
5 months ago